MELANCONG SATU IBADAH

Firman Allah : "Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Al An-Kabut : 20)

24.5.14

Muadzam Shah & Rompin '14

Dulu-dulu memang aku pernah melalui jalan di Muadzam Shah dan Rompin untuk ke Majlis Perkahwinan Saidi di Mersing dan bercuti di Pulau Sibu. Tapi itu 10 tahun yang lepas dan bagaimana pula keadaannya sekarang. Hari ini pula kembali semula ke Muadzam Shah untuk hari pertama pendaftaran anak aku menyambung belajar di UNITEN. Dari Nilai jam 8.00am dan tiba di Muadzam Shah jam 10.30am dengan jarak 183km.

Tiada apa-apa yang menarik di bandar ini. Sepi..... tidak sibuk dan tenang. Akan tetapi telah dimeriahkan dengan adanya pusat pengajian tinggi seperti,
1. Universiti Tenaga Nasional, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah
2. Maktab Rendah Sains Mara, Muadzam Shah
3. Politeknik Muadzam Shah
4. Kolej Vokesional, Muadzam Shah

Inilah mercu tanda di simpang untuk menghala ke pusat Bandar Muadzam Shah. Cuma ada 3 buah hotel sahaja di sini buat masa ini iaitu Tong Villion Hotel (09-4521001), Wawa Inn (09-4525434) dan RSD Hotel (09-4523254). Tong Villion Hotel menjadi pilihan kami sebab paling selesa dan bersebelahan pula dengan Masjid Al-Muadzam.

Bosannya! Dah habis pusing seluruh Bandar Muadzam Shah. Jom! Jalan-Jalan ke Kuala Rompin. Khabarnya Rompin terkenal dengan UDANG GALAH seperti Temerloh terkenal dengan IKAN PATIN. Dari Muadzam Shah terus sahaja ke simpang arah ke Pekan dan Kuala Rompin yang berjarak 55km. dan betul-betul di simpang inilah terdapat RNR Leban Chondong. Terdapat beberapa buah gerai dan menu utamanya Udang Galah sehinggakan orang-orang terkenal dan ternama datang singgah makan di sini. Aku pun pilih makan di Gerai Mak Ngah sebab sambut aku dulu. Ada udang sudah siap dihidang dan boleh juga minta dimasakkan ikut pilihan kita sama ada masak bersambal, bergoreng atau masak lemak cili api.  Harga ikut saiz udang. Aku pilih 8 ekor udang galah masak lemak cili api, 2 ekor ikan kerisi bakar, ulam-ulaman dan air. Semuanya RM90 dan memang sedap dan terasa kesegarannya.

Masih terasa lagi kesedapan udang galah dan aku berehat sebentar di Pantai Hiburan, Kuala Rompin sambil duduk dan memandang Laut China Selatan yang kebiruan.

Tiada ulasan: