MELANCONG SATU IBADAH

Firman Allah : "Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Al An-Kabut : 20)

27.8.16

Pattaya & Bangkok 2015

08.12.15

KOMUTER, BANGI - BANDAR TASIK SELATAN  RM4.30  ERL, BANDAR TASIK SELATAN - KLIA  RM26.50   MALAYSIA AIRLINES  RM429 (Pergi Balik)  AGODA, THE GREEN VIEW PATTAYA  RM174.85 (2 Malam)  AGODA, UNICO EXPRESS @ SUKHUMVIT BANGKOK  RM115.11 (2 Malam)  BUS TRANSIT, SUVARNABHUMI AIRPORT - PATTAYA  RM15.25 (122B)  TAXI, PATTAYA TERMINAL BUS - GREEN VIEW HOTEL  RM6.24 (50B)  TAXI, GREEN VIEW HOTEL - PATTAYA TERMINAL BUS  RM12.50 (100B)  BUS TRANSIT, PATTAYA - EKAMAI  RM14.37 (115B)  BTS EKAMAI - BTS NANA  RM3.25 (26B)  BTS NANA - BTS NATIONAL STADIUM  RM3.50 (28B)  BTS SIAM - BTS NANA  RM3.12 (25B)  VAN, TOUR TRIP - 1 PAX  RM75.00 (B600)  FLOATING MARKET  RM125 (1000B)  BTS PHYA KHOENG - BTS SIAM  RM5.62 (45B)  BTS SIAM - BTS NANA  RM3.12 (25B)  TAXI, UNICO EXPRESS @ SUKHUMVIT - SUVARNABHUMI AIRPORT   RM31.25 (250B)  TAXI, KLIA - NILAI  RM54.80 

 TOTAL GROUND EXPENSES  RM1,102.78 (SEORANG)

 FOREX   100B = RM12.50

SUVARNABHUMI AIRPORT
Merupakan pintu masuk utama ke Thailand. Cara sebutannya adalah Suvarnabhum. Airport ini direkabentuk oleh Helmut Jahn of Murphy / Jahn Architects dan telah dirasmikan pada 15 September 2009. Menara kawalan airport ini adalah yang tertinggi di dunia dan bangunan terminal pula adalah yang ke 4 besar di dunia (buat masa ini). Lokasinya adalah 25km dari Bangkok dan merupakan airport yang ke 6 sibuk di Asia. Itulah serba sedikit informasi berkenaan airport ini.

Walaupun umat Islam adalah minoriti di Thailand tetapi Suvarnabhumi Airport mempunyai surau yang selesa dan luas di Balai Pelepasan. Lokasinya senang dicari, terletak di Gates E, tingkat 3.

Suvarnabhumi Airport juga menyediakan kedai makan halal iaitu di Gates F, tingkat 4 Balai Pelepasan. Makanan Thai, makanan barat, makanan Jepun, makan Korea dan Arab disediakan tetapi harganya diantara 200B sehingga 400B. Di balai ketibaan pula, makanan halal terletak Food Court di tingkat bawah yang berhampiran dengan kuanter perkhidmatan bas.

HARI 1 - PATTAYA
Tahniah! Malaysia Airlines. Penerbangan dari KLIA ke Bangkok memang selesa dan layanan memang terbaik!!. Perjalanan  sejauh 1,301km yang mengambil masa 2 jam tidak terasa penat, disajikan makan malam sambil menonton filem terbaru. Tiket promosi di musim cuti sekolah ini telah kami tempah 6 bulan yang lepas.

Sampai saja di Suvarnabumi Airport dah jam 9.00 malam (Thailand), dengan pantas kami bergegas ke kuanter perkhidmatan bas ke Pattaya kerana trip terakhirnya pada pukul 10.00 malam. Cara-cara ke situ mudah sahaja, apabila keluar dari Balai Ketibaan ambil kanan dan turun ke tingkat bawah (papan notis boleh dijadikan panduan).
Perjalanan ke Pattaya ambil masa 2 jam melalui lebuhraya dan berhenti di Terminal Bas Pattaya. Perjalanan ke Green View Hotel, Pattaya pula kami menaiki teksi. Green View Hotel memang tidak mengecewakan. Bersih dan selesa.

HARI 2 - PATTAYA
Mencari makanan halal tidak menjadi masalah di Pattaya. Cuma kebanyakannya citarasa India, Pakistan dan Arab. Bagi citarasa sebenar Thai dicadangkan ke pinggir bandar yang mempunyai kominiti Islam. Di Pattaya, saya mengesyorkan Restaurant Abu Sarah (24 jam) kerana masakan timur tengah dan masakan Thai yang tidak mengecewakan. Yum! Sedap sangat.

Salah satu tarikan di Pattaya ialah World of Ripley's Believe It or Not! di aras 3 Garden Park Royal Shopping Center, Beach Road. Jalan kaki hanya 10 minit sahaja dari hotel kami. Pantai Pattaya memang biru dan memang meriah dengan pelbagai aktiviti sukan air. Jika hendak membeli cenderamata atau baju T adalah dicadangkan membeli di Pattaya kerana lebih murah berbanding di Bangkok.     

HARI 3 - BANGKOK
Selepas sarapan di Restoran Abu Sarah kami ke Pattaya Bus Terminal dengan menaiki teksi untuk teruskan destinasi ke Bangkok pula. Perkhidmatan bas dari Pattaya ke Bangkok menyediakan trip setiap 30 minit dan hentian terakhirnya di Bangkok Bus Terminal (Eastern), Ekamai. Dari situ kami menapak ke BTS Ekamai untuk ke BTS Nana.

BTS menjadi sistem pengangkutan rel utama di Bangkok dan ini amat mudah bagi kaki melancong. Dari stesen BTS Nana untuk ke Hotel Unico Ekpress @ Sukhumvit (2016 akan bertukar nama) dalam 15 minit berjalan kaki dan sepanjang jalannya seperti berada di Arab Street. Semua ada, daripada makanan timur tengah dan juga barangan daripada timur tengah.

Stadium National Bangkok pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia 1966, terletak di BTS National Stadium. Paling menarik di stadium ini ialah semua pemenang pingat emas dipahat namanya di sekeliling bangunannya. Lagenda jaguh olahraga Malaysia M Jegathesan yang telah memenangi emas untuk acara 100m, 200m dan 4 x 100m mengetuai senarai nama di situ. 

Sekitar BTS Siam merupakan pusat membeli-belah utama di Kota Bangkok seperti Siam Paragon, Siam Centre, MBK Centre, Central World dan Siam Square.  Tetapi jika nak mencari barang-barang yang murah adalah disyorkan ke MBK Centre.

HARI 4 - BANGKOK
Hari ini kami ambil pakej untuk ke Floating Market dan Maeklong Market dengan Toyota Innova. Perjalanan sekitar 2 jam sahaja dan di sepanjang perjalanan di kiri kanan terdapat perusahaan garam. 
Malang bagi kami sebab tidak dapat menikmati suasana apabila gerabak keretapi merentasi pasar di Maeklong dengan peniaga dengan sepantas kilat akan menyelamatkan barangjualan mereka. Kerajaan Thai sedang membuat laluan baru keretapi untuk ke Maeklong. 

Diantara tarikan utama di Bangkok, adalah merasai pengalaman di Floating Market. Supir kami telah membawa kami ke Damnoen Saduak Floating Market. Sewa perahu bergantung kepada jumlah jam iaitu 1 atau 2 jam dan boleh memuatkan 6 orang. Kadarnya 4000B untuk 2 jam tetapi kami pilih yang 1 jam sahaja iaitu 2000B. Perahu tersebut akan menyusuri tali air dan sungai manakala di sepanjangnya akan ada gerai-gerai jualan yang menjual makanan dan cenderamata oleh penduduk setempat. Hanya ada sebuah gerai sahaja yang menjual makanan halal dan Tom Yam Udang...memang fresh.

Alhamdulillah, supir kami beragama Islam iaitu Anand dan tahu di mana terdapat makanan halal di Bangkok, terutama masakan Siam sebenar. Restoran yang di bawanya ialah di Ramkhamheang. Bilik sembahyang pun disediakan. Pergh! memang sedap Tom Yam, Pad Prik Kang Kai, Kai Dan, Kerabu Mangga, Ayam Goreng dan murah berbanding restoran halal di sekitar hotel kami.

HARI 5 - BANGKOK
Awal pagi dah siap-siap berkemas nak kejarkan Flight pukul 11.30 pagi tetapi dukacita diumumkan flight ditunda pula ke 1.30 tengahari (waktu Bangkok). Tapi apa nak buat terima je la....SAWASDEE

18.8.16

Umrah 2015

01.06.15


09.30am, aku mulakan melangkah.
03.00pm, Malaysia ditinggalkan untuk terbang ke Medina.
06.30pm, transit sekejap di Riyadh.
07.30pm, terbang semula untuk sampai ke Medina jam 8.30pm.


Alhamdulillah.
Syukur ke hadrat Allah aku kembali lagi.
Suasana yang sukar untuk diceritakan dan hanya airmata sahaja yang dapat gambarkan segala-galanya.


Hari ke 2
Selama 6 hari berada di Medina.

Suhu adalah 44 C. Memang panas tapi tidak berbahang.
Dan aku telah dapat sesuaikan diri.
Dan Bahasa Melayu yang mudah-mudah memang kedengaran di sana sini.
Dan aku seperti tidak mahu meninggalkan Medina.


Setelah mengutip pahala-pahala di Masjid Nabawi.
Jom kutip pula barang-barang sebagai cenderamata untuk disedekahkan pula kepada anak-anak dan rakan-rakan.
Pelbagai barang ada dijual di sekitar Masjid Nabawi, samada di kaki lima atau di kedai-kedai. Harga boleh ditawar.


Hari ke 3 di Medinah 
Diadakan program ziarah di sekitar Medinah dan semua jemaah dikehendaki berkumpul jam 7.30am di lobi Hotel Mubarrak Silver.

Masjid Al-Quba
Masjid yang pertama dibina oleh orang Islam di Medina dan diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum tiba di Medina ketika hijrah daripada Mekkah. Diantara masjid paling suci selepas Masjidil Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Aqsa. Masjid ini dibangunkan atas dasar taqwa dan sesiapa yang bersembayang di dalamnya, ganjarannya seperti pahala ibadat umrah. 
Di sini juga terdapat gerai-gerai jualan tetapi aku lebih tertarik kepada kurma muda yang berwarna kuning, hujau dan merah.

Ladang Kurma 
Ladang yang subur... bayangkan disekelilingnya adalah tanah gurun yang tandus. Di sini terdapat perbagai jenis buah kurma yang segar di jual dari ladang. Harga tinggi sedikit dari Pasar Kurma Medina.


Jabal Uhud
Selanjutnya kami di bawa pula melawat ke Jabal Uhud. Di sinilah pernah berlaku peperangan Uhud diantara tentera Islam dengan tentera Quraisy pada tahun 26 Mac 625M (11 Syawal 3H). Seramai 700 bala tentera Islam yang diketuai Nabi Muhammad SAW bertempur dengan 3000 bala tentera Quraisy yang diketuai Abu Sufyan, yang mana telah dimenangi oleh tentera Quraisy. 
Di sini juga terdapat gerai-gerai jualan tetapi aku lebih tertarik kepada habatul sauda, daun bay, buah pelaga dan rempah-rempah yang agak murah.

Pasar Kurma 
Sebelum program ziarah ini berakhir, kami dibawa ke Pasar Kurma yang terletak berhampiran dengan Masjid An Nabawi. Di sini perbagai jenis kurma, kekacang dan manisan dijual dengan harga yang murah sedikit daripada di ladang kurma tadi. Setiap kedai berbeza harga dan tawar menawar kena gred A.



Hari ke 6
Selepas solat zohor dan ziarah widak di Masjid An Nabawi. Kami akan gerak ke Mekkah dengan berpakaian ihram dan akan miqat di Masjid Bir Ali. Masjid ini juga disebut Masjid Al Miqat kerana fungsinya sebagai tempat berilhram dan miqat bagi orang-orang Medina hendak menunai haji dan umrah di Mekkah. Nabi Muhammad SAW juga mengambil miqat di sini. Jarak Masjid Bir Ali ke Masjidil Haram adalah lebih kurang 450km. Perjalanan dengan bas mengambil masa selama 7 jam.
Dan kini, bermulalah 13 perkara larangan-larangan ihram yang perlu dijaga.



Hampir waktu magrib, kami singgah di RNR Wadi Qudaid untuk berhenti solat Jamaq Taakhir dan makan malam yang disediakan oleh Andalusia Travel & Tour. Makan Nasi Arab di dalam talam dan berkongsi 4 orang. 
RNR Wadi Qudaid ada sejarahnya, iaitu tempat di mana Ummu Ma'bad menyaksikan mukjizat Nabi Muhammad SAW memerah air susu kambing kepunyaan Ummu Ma'bad yang tua dan telah ditinggalkan oleh kambing jantan.
Apabila mula memasuki kawasan Tanah Haram Mekkah, Ustaz Hasbollah bersama-sama kami membaca doa memasuki Tanah Haram Mekkah dan bertalbiah sepanjang perjalanan ke Hotel Barrakkah. Selepas menyimpan beg sebentar, kami mengerjakan ibadat umrah pada di tengah malamnya.



Hari ke 2 di Mekkah
Diadakan program ziarah di sekitar Mekkah pula dan semua jemaah dikehendaki berkumpul jam 7.30am di lobi hotel.

Jabal Thur
Terletak 6 km di sebelah selatan Masjidil Haram. Di salah satu puncak Jabal Thur terdapat Gua Thur, tempat perlindungan Nabi Muhammad SAW dan Syaidina Abu Bakar RA daripada dikejar oleh kaum Quraiys. Pada tahun 622M, Nabi Muhammad SAW berniat hijrah ke Medina untuk penyebaran agama Islam tetapi kaum Quraiys cuba menhalang ajaran Islam tersebar ke luar Mekkah. Dengan keadaan yang terdesak, Nabi Muhammad SAW dan Syaidina Abu Bakar RA memilih untuk berlindung di Gua Thur selama 3 hari 3 malam atas petunjuk yang diberikan Allah SWT melalui malaikat Jibril.

Jabal Rahmah
Di puncak bukit inilah Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda kepada semua umat Islam yang menunaikan ibadah haji bersama baginda sebelum meninggal dunia. Di sini juga tempat dimana Nabi Adam AS dan Hawa bertemu kembali di bumi setelah lama terpisah jauh. Ketinggian bukit ini adalah kira-kira 70 meter dan pengunjung mengambil kesempatan untuk memohon doa diberikan jodoh yang baik-baik.



Masjid Ta'naim dikenali juga sebagai Masjid Saidatina Aishah merupakan tempat bermiqat paling hampir sekali.
Masjid Ji'ranah terletak di perkampungan orang Badwi merupakan tempat bermiqat dan Nabi Muhammad SAW pernah bermiqat di sini.


Masjid Hudaibiyah juga tempat bermiqat terdekat dan di sini pernah berlaku perjanjian Hudaibiyah iaitu perjanjian gencatan senjata diantara kaum Quraisy dan Islam selama 10 tahun tetapi telah dicabul oleh pihak Quraisy.
Pusat Pameran Kesenian Arkitek 2 Masjid Suci, terdapat artifek barang-barang dan kain kaabah di Masjidi Haram yang telah berusia beratus tahun. Peluang melawat muzium ini janganlah dilepaskan.



Setelah 6 hari berada di sini.
Selamat tinggal bumi Mekkah.
Mekkah yang dalam proses pembangunan untuk memberikan keselesaan kepada seluruh umah Islam.
Ya Allah berikanlah peluang untuk aku ke sini lagi.

BAJET
Andalusia Travel & Tour - RM6,490.00 
(Penerbangan, Hotel, Pengangkutan, Trip Lawatan dan Makan -13H 12M)

28.2.15

Jakarta dan Bandung 2015

Aku kembali lagi.
Antara Kuala Lumpur dan Jakarta.
Memang tiada beza.
Bukan sekadar serumpun tetapi bersaudara
"Bukan begitu Pak Uwat." 
Supir yang akan menemani kami sepanjang berada di Jakarta dan Bandung.
Yang akan membawa bebanan seramai 13 orang.
Selama 4 hari 3 malam.

Jakarta dan Bandung.... telah sering aku ke sini dan kali ini penerokaan lebih tertumpu tempat-tempat yang belum pernah dikunjungi. Tetapi MONAS dan Masjid Istiqlal masih menjadi tempat wajib.

HARI PERTAMA - MONUMEN NASIONAL INDONESIA
Memang meriah di sekitar Monas. Macam-macam aktiviti ada di sini......dengan gelagat warga Indonesia yang mencari rezeki halal seperti cenderamata, alat-alat keperluan dan makanan tradisi Indonesia. 

HARI PERTAMA - MASJID ISTIQLAL
Solat di masjid ini sebentar sebagai muqadimah untuk memulakan destinasi Jakarta dan Bandung ini. Memang ramai yang mengunjungi masjid ini terutama rombongan murid-murid sekolah Indonesia.

MAKAN DI SINI
Mungkin kebanyakan pelancong dari Malaysia akan was-was bab kebersihan makan di warung-warung di sekitar Indonesia. Tapi aku dan sekeluarga nak juga merasa dan ubat-ubat dah dibekalkan jika sakit perut. Alhamdulillah... ok je. KETOPRAK ini adalah seketul ketupat nasi dicampurkan dengan taugeh dan kobis. Kemudiannya diletakkan kuah pecal dan kicap ABC. Dihias pula dengan keropok. Harganya IDR10000 sahaja. Enak juga dan yang penting tak sakit perut pun.

HARI KEDUA - TAMAN SAFARI INDONESIA
Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa pun teruja mahu ke Taman Safari Indonesia yang terletak di Jalan Raya Puncak, Cisarua Bogor. Dari Jakarta ke sini cuma 87km tetapi akibat macet, perjalanan menjadi 3 jam.  Zoo safari ini dibuka jam 9.00am sehingga 5.00pm waktu Indonesia. Tiket masuk bagi pelancong luar ialah IDR300,000 (6 tahun keatas), IDR250000 (6 tahun kebawah) dan IDR15,000 bagi kenderaan kecil. Alhamdullillah..... Pak Supir berjaya dapatkan diskaun 50%.

Taman Safari Indonesia yang terbesar di Asia Tenggara ini memang unik dengan ketinggian 1800m dari aras laut dengan suhu sekitar 16 Celcius. Semua haiwan dibiarkan hidup dengan bebas dan pengunjung boleh gunakan kenderaan masing-masing. Bagi haiwan yang jinak, kita boleh membuka tingkap kenderaan untuk memberi makan pisang atau karot. Tetapi awas bagi haiwan liar. Diwajibkan tutup tingkap, jika kalian mau hidup....

Selain safari zoo, ada juga Funzone & Water Park. Anak-anak aku apa lagi..... "Jom naik Roller Coaster", kata Faiz.  "Yeah! Jom naik kerete langgar", Jerit Jijah. "Jomlah gi rumah hantu", Farzana mengajak Farah. "Jom naik kapal terbang pusing-pusing", teriak Faiq.  "Hai! Budak-budak....korang mainlah puas-puas, ayah dengan mama nak tengok show akrobatik".

MAKAN DI SINI
Nasi Padang memang sinonim dengan Indonesia dan senang di cari.... yang penting halal. Kali ini kami makan siang di Rumah Makan Sederhana....."Tapi harganya enggak sederhana" kata supir kami. Sekali makan, lebih kurang IDR750000.....standard la tu. Lauk pilihan aku.... semestinya rendang daging, sambal hijau dan gulai kulit lembu.....Wow! Kalestrol tu.

HARI KETIGA - KAWAH PUTIH
Kawah Putih ini memang cantik dan menakjubkan. Dibuka setiap hari jam 7.00am sehingga 5.00pm dengan tiket masuk IDR15000 seorang dan IDR150000 bagi membawa kenderaan. Kawah Putih adalah sebuah danau yang terbentuk daripada letusan Gunung Berapi Patuha yang berketinggian 2400m dan suhu adalah sekitar 8-22 Celsius. Tanah di sini berwarna putih akibat percampuran unsur belerang dan airnya pula berwarna putih kehijauan disebabkan kadar belerang, suhu dan cuaca. Dari Bandung cuma 50km tetapi disebabkan macet perlu 3 jam untuk ke sini.

MAKAN DI SINI
Kami cuba pula makanan Sunda di perjalanan turun dari Kawah Putih di  Saung Gawir, Jalan Raya Ciwidey. Makanan set yang terdiri daripada tempe goreng, tauhu goreng, ayam goreng, ikan garumi goreng, sambal hijau, sambal berapi, sambal kicap, keropok, ikan masin dan otak-otak memang menyelerakan. Makan dengan suhu yang sejuk di lereng bukit yang dikelilingi kebun strawberi, sayur-sayuran dan buah-buahan. Wow! Enaknya membayar IDR700000.

HARI KEEMPAT - SELAMAT TINGGAL
Dari Bandung jam 6.30am dan tiba di Jakarta jam 10.30am dan penerbangan ke KLIA2 tepat jam 1.15pm. Terima kasih Pak Uwat, supir kami dan juga Mawan dan juga Encang kerna telah memberikan perkhidmatan yang baik, berpatutan dan selesa terutama di Hotel Neo, Jakarta dan Apartment Homestay, Bandung.

"Kapan lagi mau ke sini?, Pak Uwat udah tidak sabar mau kembali ke Bandung untuk pelancong seterusnya.
"Ada rezeki aku akan ke sana lagi. Kamu doa akan aku....iya Pak Uwat"